RUMAH TRADISIONAL MELAYU : ANTARA SENI, SAINS KUNO & REALITI
RUMAH TRADISIONAL MELAYU : ANTARA SENI,
SAINS KUNO & REALITI
Oleh: Mohd Firrdhaus Mohd Sahabuddin
Rumah
Tradisional Melayu merupakan antara senibina terawal yang didirikan di Gugusan
Kepulauan Nusantara (Malay Archipelago). Ia telah melalui proses
transformasi sejak ribuan tahun yang lalu. Kesenian pertukangannya disampaikan
secara turun temurun dari generasi ke generasi. Sehingga kini jejak rumah-rumah
tradisional ini masih dapat dilihat dan dikesan di seluruh nusantara samada
secara fizikal ataupun yang telah menjadi sebahagian artifak sejarah yang
didokumentasikan oleh pelbagai organisasi kerajaan atau swasta dan badan-badan
warisan. Kesenian rumah-rumah tradisional ini adalah sangat unik kerana ia
mewakili setiap pecahan etnik Alam Melayu yang terdapat di gugusan kepulauan
ini. Namun, sifat fizikal yang dibina mengunakan bahan binaan ringan dari
sumber setempat seperti kayu-kayan, buluh, rotan, mengkuang, daun nipah dan
sebagainya tidak memungkinkan rumah-rumah ini wujud sehingga ribuan tahun
lamanya. Sehingga kini di Malaysia, rumah tertua yang pernah didokumentasikan
oleh Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM), Universiti Teknologi Malaysia
ialah Rumah Datuk Baginda Tan Mas Mohar yang terletak di Negeri Sembilan dan
dibina sekitar tahun 1850. Kesenian pertukangan rumah-rumah tradisional ini adalah
sangat tinggi iaitu merangkumi tiga (3) cabang kesenian iaitu; kesenian
susunatur ruang, kesenian kaedah pembinaan dan kesenian adaptasi komponen
binaan terhadap iklim setempat.
Yang dimaksudkan dengan kesenian
susunatur ruang ialah, perancangan susunatur yang menterjemah sosio budaya
masyarakat Melayu. Sebagai contoh; kedudukan ‘serambi’ yang diletakkan di hadapan
sekali sebagai ruang umum menyambut tetamu diikuti dengan rumah ibu sebagai
ruang utama kekeluargaan dan keraian, adalah menepati keperluan budaya
masyarakat melayu yang mengutamakan layanan terhadap tetamu dan dalam masa yang
sama menjaga tahap privasi ahli keluarga mengikut hukum Agama Islam. Bagi rumah
Melayu yang mempunyai susunatur jenis berkembang (expanded form)
perletakkan selang sebagai jambatan penghubung diantara rumah ibu dan dapur adalah
berperanan sebagai pintu masuk bagi kaum wanita ketika persiapan kenduri-kendara
sedang giat dilakukan. Bilik di dalam rumah tradisional Melayu pula dibina
dalam keadaan boleh ditambah dan dikurangkan mengikut keperluan dan jumlah ahli
keluarga. Kolong misalannya berperanan sebagai ruang serbaguna bagi aktiviti
kenduri-kendara, aktiviti harian seperti stor simpanan peralatan dan hasil
penuaian. Manakala di musim tengkujuh yang selalunya berlarutan sehingga
berminggu-minggu, kolong merupakan tempat penting bagi tujuan pengeringan
pakaian dan juga tempat pembaikan jala bagi nelayan yang tidak dapat turun ke
laut. Ternyata susunatur ruang di dalam rumah tradisional Melayu adalah
merupakan refleksi ke atas cara hidup dan budaya masyarakat Melayu itu sendiri.
Kesenian kaedah pembinaan tradisional
pula berkisar bagaimana sesebuah rumah tradisional itu didirikan dengan menggunakan
sumber sedia ada di kawasan sekeliling. Rumah-rumah ini juga mempraktikkan
kaedah pembinaan lama yang tidak menggunakan paku melainkan pasak dan tanggam
bagi menguatkan dan mengukuhkan binaan tersebut. Secara asasnya rumah melayu
didirikan dengan menaikkan struktur tiang utama yang dipanggil ‘tiang seri’
terlebih dahulu. Ini diikuti dengan pemasangan ‘rasuk panjang’ dan ‘rasuk
pendek’ bagi mengikat kedudukan ‘tiang seri’ kepada tiang-tiang sokongan yang
lain. Peringkat ketiga ialah, perletakkan lantai sementara bagi kegunaan
kerja-kerja pemasangan ‘alang panjang’ dan ‘alang pendek’ sebelum diikuti
dengan ‘tunjuk langit’, ‘alang muda’ dan ‘tulang bumbung’. Peringkat keempat ialah
pemasangan komponen bumbung dengan perletakkan ‘kasau jantan’ dan ‘kasau
betina’ disusuli dengan pemasangan ‘atap’ dan ‘tebar layar’. Akhir sekali, kayu
lantai dipasang diikuti dengan kayu dinding, tingkap, jendela, pintu serta komponen
perhiasan fasad yang lain. Boleh disimpulkan di sini, kaedah pemasangan rumah
tradisional Melayu adalah pelopor terawal kepada konsep ‘Sistem Binaan
Berindustri’ (Industrialised Building System - IBS) di dunia. Ianya
lebih mapan dan lestari berbanding binaan moden yang lain kerana mampu
mengatasi masalah banjir besar yang sering melanda rantau ini pada musim
tengkujuh. Selain itu rumah tradisonal ini juga boleh dibongkar (dismantle),
dipasang semula (reassemble) dan dipindahkan (relocate) samada
secara ‘buka dan pasang’ atau diangkat keseluruhannya secara bergotong-royong
ke lokasi yang baru. Inilah antara kelebihan kaedah pembinaan tradisional yang
menggunakan bahan binaan ringan.
Selain daripada komponen struktur
yang dinyatakan sebelum ini, Rumah Tradisional Melayu mempunyai tiga (3)
komponen utama iaitu ‘lantai tinggi’ (raised floor), ‘dinding dan
bukaan’ (walls and openings) serta ‘bumbung cerun bertingkat’ (doubled
slope roof). Keunikan rumah tradisional adalah ianya menggunakan lantai
tinggi bertiang. Inilah ciri utama binaan tradisional yang memberi manfaat
kepada penghuni bagi mengekalkan keselesaan terma dalaman dan keselamatan
daripada bahaya binatang buas dan berbisa. Dari sudut sains bangunan pula, binaan
lantai tinggi mampu mempromosi pergerakkan angin (air velocity) di bawah
lantai tersebut. Dengan penggunaan kayu lantai jarang (timber gapped floor),
angin yang lalu di bawah lantai rumah akan memasuki ruang dalaman bagi membantu
proses penukaran dan peredaran udara. Satu kajian yang dilakukan oleh Hanafi
(1994) menyatakan bahawa keadaan tanah yang lembab dan basah di rantau ini
memerlukan pencahayaan yang mencukupi bagi mengeringkannya. Selain daripada
itu, musim tengkujuh tidak hanya membasahkan tanah malah banjir kadang kala
berlaku. Oleh itu kaedah lantai tinggi adalah sangat sesuai untuk iklim di rantau
ini. Beberapa kajian lain telah menemukan perbezaan ketinggian lantai rumah
tradisional di Semenanjung Malaysia. Kajian tersebut menyatakan bahawa ketinggian
lantai rumah tradisonal di Utara Semenanjung adalah lebih tinggi berbanding
ketinggian lantai rumah tradisional di bahagian Selatan Semenanjung. Ternyata penemuan
tersebut mempunyai asas memandangkan kejadian banjir besar sering berlaku di bahagian
Utara Semenanjung Malaysia berbanding Selatan. Adakah ianya kebetulan?
Komponen seterusnya ialah ‘dinding
dan bukaan’. Pada fasad rumah tradisional Melayu, jumlah bukaan atau jendela
adalah banyak dan menyeluruh iaitu dari paras lantai sehingga hampir ke siling
rumah (full-length window). Ketinggian bukaan ini adalah sangat sesuai
kerana ianya berada pada paras badan penghuni (at body level). Hassan
dan Ramli (2010) merumuskan bahawa faktor keluasan bukaan dengan jumlah tingkap
yang banyak beserta ukiran tembus (ornamentation) di atas tingkap di
setiap muka fasad mampu meningkatkan peredaran udara yang merentas rumah
tersebut (cross ventilation). Situasi ini mampu mengaktifkan proses
peredaran udara sejuk bagi menyalur keluar udara panas di dalam rumah.
Komponen terakhir adalah ‘bumbung
cerun bertingkat’ (doubled pitch roof) yang berfungsi bagi menyalurkan
udara panas keluar melalui rongga di antara bumbung atas dan bawah. Rongga ini
membantu membenarkan peredaran udara panas keluar yang terperangkap di ruang
dalam bumbung melalui kaedah ‘kesan timbunan’ (stack effect). Manakala penggunaan
bahan binaan ringan seperti ‘atap nipah’ membantu menyejukkan bahagian atas
bumbung kerana ‘atap nipah’ mempunyai kapasiti terma yang rendah. Bahan ini
tidak menyimpan haba dan menyejuk serta merta apabila hari semakin redup.
Diantara ciri reka bentuk bumbung Rumah Tradisional Melayu yang responsif
terhadap iklim setempat ialah penggunaan ‘tebar layar’ yang berongga. Seperti ‘bumbung
cerun bertingkat’, ‘tebar layar berongga’ juga berfungsi untuk membenarkan
pengudaraan yang baik bagi bahagian atas rumah. Selain itu, unjuran bumbung
rumah tradisional yang panjang membantu melindungi fasad rumah serta tingkap
daripada pancaran terik matahari dan tempias air hujan yang lebat. Perlindungan
yang diberikan oleh unjuran bumbung ini membolehkan tingkap dan bukaan sentiasa
dibuka walau dalam keadaan hujan lebat dan panas terik.
REALITI
PERUMAHAN DI MALAYSIA
Apabila dilihat kepada senario
semasa perkembangan projek-projek perumahan di seluruh Malaysia. Boleh
dikatakan tiada satupun konsep perumahan yang mampu menandingi ‘sains kuno’
konsep Rumah Tradisional Melayu. Kelemahan dari segi susunatur ruang yang tidak
menjaga privasi penghuni, bahan binaan yang mempunyai kapasiti terma yang
tinggi dan elemen-elemen pada fasad yang tidak responsif kepada iklim di
Malaysia menampakkan ianya tidak sesuai berada di sebuah negara beriklim
tropika. Dimanakan peranan Arkitek dalam menangani hal ini? Seharusnya nilai
hartanah yang dilaburkan oleh pembeli-pembeli perlu ditandingi dengan kualiti produk
yang tinggi yang memberi keselesaan kepada penghuni. Pelajarilah dari generasi
terdahulu kerana mereka mampu menghasilkan produk yang lebih baik.
Comments
Post a Comment