Tuesday, September 29, 2009

Al- Fatihah...

Tanggal 26 September 2009 bersamaan hari raya ke-7, opah pergi meninggalkan kami setelah lebih setahun terlantar uzur. Dan di sepanjang bulan ramadhan ini opah menghabiskan masa di hospital, sambil ditemani mak dan atok bergilir-gilir. Aku sempat menziarahi opah beberapa hari sebelum beliau pergi buat selamanya. Hari itu jam 1 tengahari, aku mulakan langkah untuk berangkat ke kota, walau terasa berat meninggalkan opah namun naluriku berkata masih ada masa, ku hadiahkan bacaan surah yaasin untuk opah agar diringankan ujian tuhan lalu aku bisikkan ke telinganya, "Pah, nanti kita jumpa lagi ye". Opah tidak mampu berkata tapi jelas anak matanya memandangku, dan pandangan itu adalah yang terakhir dari opah. Jam 410 petang opah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir, aku yang di ketika itu telah menyusuri persimpangan Sg. Buloh berpatah kembali ke kampung. Setibanya aku di kampung jam 6 petang, van jenazah opah pun tiba dari hospital. Kami bertemu lagi, namun kali ini aku hanya mampu menyambut sebujur tubuh yang kaku. Baru itu aku tersedar bahawa opah telah benar-benar tiada...

Aku dibesarkan didalam pangkuannya seawal umurku 1 tahun 4 bulan hinggalah menjangkau keusiaku yang ke 17 tahun. Bermakna celik mataku, dan ingatan pertamaku adalah bersama opah dan atok. Mereka berdua sebagai ganti kasih ibu dan bapaku. Setelah bapaku meninggal dunia pada 1981, mak menghantar aku dan kakak menetap dikampung kerana mak perlu mencari rezeki di kota. Bermula dari itulah opah dan atok berada disisi kami, menjaga kami siang dan malam, sakit dan demam, menghantar kami kesekolah dan mengasuh kami sehingga dewasa. Begitu besar kasih sayang opah dan atok, begitu besar jasa mereka terhadap kami yang tak mungkin dilupa dan tak terbanding dengan apa-apa untuk dibalas...

Pemergian opah adalah satu peristiwa yang sangat besar dalam hidupku, aku masih terbayang kelibatnya dirumah usang itu. Opah sangat berdedikasi, menjaga kebersihan rumah dan menjaga amal ibadatnya, bangun seawal 4 pagi setiap hari untuk memulakan rutin harian adalah perkara biasa di rumah itu. Dikeheningan pagi itu opah akan membasuh baju kami semua, selalunya tempoh membasuh opah agak lama selain memberus opah akan membilas 3-4 kali baju agar benar-benar bersih, selesai mandi opah akan bersembahyang subuh dan selesai saja bersolat opah pasti menjerit memanggil namaku, "Apis, bangun subuh", saat itulah setiap hari aku mula bangun dan bersiap ke sekolah. Percaya atau tidak panggilan itu masih dilaungkan opah walaupun aku sudah berumahtangga. Itulah opah, itulah rutin hidup ku sepanjang hidup selama 16 tahun bersama opah. Rutin opah kemudian bermula kembali dengan menyapu ke seluruh rumah, selesai menyapu opah akan menyidai kain di ampaian dan sebelum kesekolah aku dan kakak akan makan dahulu dengan sarapan ruji kami sejak kecil telur goreng, nasi dan kicap berserta dengan air milo segelas. Seperti biasa duit belanja 30 sen dan air milo sebagai bekalan telah siap diatas meja untuk kami bawa kesekolah...

Setiap malam 1 ramadhan opah akan memanggil kami kebiliknya dan tersedia doa berpuasa sebulan untuk dibaca, satu persatu perkataan itu dibacanya diikuti kami sehingga selesai, "lepas ni kalau lupa pun takpa" katanya. Dan setiap malam 1 syawal pula opah akan memakaikan barang kemas kepada kakak. Opah akan ikat kuat-kuat penyambung barang kemas itu agar tidak putus dan hilang. Menjelang hari raya opah lah insan yang paling sibuk, persiapan raya seperti langsir dan kuih muih akan disediakan sebelum menjelang hari raya, yang pasti kuih bahulu, loyang dan kerepek pisang adalah kegemarannya dan langsir bertema kekuningan sentiasa menghiasi ruangan rumah setiap tahun. Setiap kali menjelang hari persiapan raya itulah hari yang paling menggembirakan buat aku...

Opah, segala pengorbananmu tak mungkin dilupa. Opah telah membentuk peribadi aku zahir dan batin dengan sempurna, pesanan terakhirnya "Jangan sesekali tinggalkan sembahyang", akan ku pegang dan diperturunkan ke anak cucu. Terima kasih opah kerana membesarkan kami, semangat dan kasihmu tetap bersama kami. Semoga opah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan para muslimin muslimat yang soleh. Kita pasti bertemu lagi, hanya tuhan sahaja yang menentukan...

Suasana tanah tumpah darahku ini tetap sama, walau hanya tinggal atok namun kenangan-kenangan opah dirumah ini tetap ada tinggal segar dalam lipatan sejarah hidupku. Beliaulah penyelamat masa kecilku, ditangan kedua mereka inilah tempat aku berlindung, dipangkuan mereka inilah tempatku menangis dan dikehangatan tubuh merekalah aku menumpang kasih sayang ibu bapa. Untuk anak-anak dan waris-waris semua sayangilah ibu bapa diwaktu mereka bernyawa, dan balaslah budi mereka disaat mereka boleh merasa. Kerana kita manusia tidakkan tahu takdir tuhan, kerana itu jangan mudah lupa...
Al-Fatihah buat "Hindun bt. Ahmad" yang pulang kerahmatullah pada 26 september 2009 yang lalu. Amin...
by firrbudi @ Kg. Changkat Petai, Tapah Road, Perak : 28hb Sept. 2009

9 comments:

  1. al fatihah buat opah mike.....
    bila baca nukilan nie... sama cara jalannya dengan teman....
    cumanya... opah teman masih ada, pasti satu hari nanti, teman akan rasa apa yang mike rasa....
    semat kenangan rapat2 dalam jiwa....

    ReplyDelete
  2. takziah....

    alfatihah....

    ReplyDelete
  3. ermm...
    ku terase kesedihan mu...

    ReplyDelete
  4. Takziah...InsyaAllah kita sedekahkan al-fatihah untuk arwah...

    ReplyDelete
  5. salam takziah dr aku...mmg x ada rezeki aku untuk menjenguk serta menatapi wajah opah yg slama nie hanya cerita ttg nya aku dngar dr mulut ko...ape pn...setiap yg bernyawa mmg akn menemui mati...aku cukup terharu melihat segala nukilan yg tercatat dlm blog ini...aku dpt mrasakan perasaan yg ko rasa tika ini...relakan pemergian nya menemui Maha penciptanya...semoga rohnya dicucuri rahmat...Al-fatihah..

    ReplyDelete
  6. takziah.....
    nice entry... nangis aku baca... sbb aku pun baru kehilangan opah 14 julai 2009.... baru jugak lagi....

    ReplyDelete
  7. Alfatihah

    Satu perjalanan hidup yang mencabar...
    Semoga hari mendatang penuh dengan keberkatan...

    ReplyDelete
  8. Alamak Firr..sedihlah pulak aku baca..
    Walaupun dia telah tiada di alam maya tetapi dia tetap kukuh di dalam hati..AL-FATIHAH..

    Ikhlas: Yatie & Awang

    ReplyDelete