Monday, April 11, 2016

My PhD Journey (Part 2 - UK Commonwealth Scholarship / Biasiswa Komanwel UK)


Di entry terdahulu, saya ada menjelaskan tentang pengalaman belajar di UK yang menjadi pemangkin semangat untuk saya bergelar pelajar sekali lagi. Pada entry tersebut (Part 1) saya telah menceritakan pelbagai usaha yang telah diambil untuk merealisasikan impian saya dalam mengejar cita-cita PhD di UK. Pelbagai cabaran perlu dilalui dan yang paling sukar adalah proses mendapatkan biasiswa (Scholarship). Sebagai rakyat marhain biasa, sudah tentu saya tidak mampu untuk menanggung kos pembelajaran yang tinggi namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus merealisasikan apa yang telah diimpikan. Kerana segalanya bukan mustahil asalkan kita berusaha dan merancang strategi dengan baik. Insha Allah ada jalannya.

Setelah berusaha dengan memohon beberapa saluran biasiswa dalam dan luar negara, akhirnya penantian saya selama beberapa bulan akhirnya menemui sinar. Pada 10 Mac 2016 saya telah menerima satu emel dari pihak sekretariat komanwel menyatakan saya telah terpilih untuk dianugerahkan biasiswa komanwel untuk belajar di UK di peringkat PhD untuk sesi 2016. Berita yang sangat-sangat dinantikan. Universiti yang ditawarkan juga adalah universiti pilihan pertama saya iaitu University of Strathclyde yang terletak di Glasgow, Scotland.



Sebelum emel ini diterima saya sentiasa berdoa dan bertawakal agar niat ikhlas untuk belajar dimakbulkan. Terlintas juga dihati untuk menanggung kos pembelajaran sendiri dengan pinjaman. Oleh sebab itulah saya telah membuat permohonan belajar di New Zealand kerana berpendapat keadaan ekonomi dan matawang yang tidak terlalu berbeza memungkinkan saya 'survive' disana bersama keluarga. Permohonan ke Victoria Universiti of Wellington, NZ telah dibuat dan akhirnya pada 14 Disember 2015 saya telah ditawarkan tempat di Universiti tersebut. Namun hasrat tersebut terpaksa dilupakan kerana ketiadaan biasiswa yang sesuai dan ketidaksanggupan untuk saya menambah hutang ratusan ribu ringgit. Jadi, penempatan tersebut terpaksa saya tolak kerana saya yakin NZ bukan rezeki untuk saya kali ini.


Berbalik kepada biasiswa komanwel, permohonan biasiswa ini adalah melalui JPA dan tarikh akhir penghantaran permohonan adalah sebelum 19 November 2015. Setelah permohonan secara online dan hardcopy kepada JPA dibuat, Pada 23 Disember 2015 saya telah menerima satu emel dari JPA yang memaklumkan bahawa saya terpilih untuk disenarai pendek ke pihak UK Commonwealth Council (CSC). Namun, ianya tidak memastikan saya terpilih kerana pemilihan akhir akan dibuat oleh pihak CSC sendiri melalui beberapa kriteria yang telah ditetapkan. Dari tarikh itu saya mula membuat penyiasatan ke seluruh laman web serata dunia bagi mendapatkan jawapan proses prosidur pemilihan oleh CSC. Malangnya tiada satu perkongsian pun di alam maya yang menceritakan secara terperinci proses pemilihan tersebut. Yang biasa saya perolehi adalah calon yang disenarai pendek dari seluruh dunia adalah 3 kali ganda dari jumlah biasiswa yang disediakan. Setiap negara komanwel yang lain mempunyai kuota jumlah pencalonan nama senarai pendek. Dan keseluruhan calon senarai pendek ini akan dinilai dan 300 calon terbaik akan dianugerahkan biasiswa tersebut. Dari situ saya merasakan peluang untuk saya terpilih adalah sekitar 33.3333% sahaja. Hanya satu usaha yang mampu saya lakukan iaitu berdoa... berdoa.... berdoa.


Hampir 3 bulan selepas emel JPA tersebut, emel dari CSC diterima menyatakan saya terpilih untuk ditawarkan biasiswa komanwel dengan syarat iaitu surat tawaran tanpa bersyarat dari Universiti of Strathclyde (Unconditional Offer) perlu diperolehi terlebih dahulu. Disini saya tahu yang saya hampir pasti dapat melanjutkan pelajaran seperti yang diimpikan. Maka, usaha-usaha untuk mendapatkan 'unconditional offer' telah saya mulakan dan akhirnya pada 21 Mac 2016 surat 'conditional offer' telah diterima dengan syarat iaitu agensi pembiayaan pelajaran diperolehi. Segalanya telah hampir pasti dan saya berdoa agar semuanya berjalan lancar. Saya telah bersedia bagi melayani pelbagai cabaran yang perlu dilalui selepas ini. Diharap saya akan terus cekal dan tabah mengharunginya kerana impian telah hampir pasti dihadapan. Peribahasa melayu ada menyatakan 'alang-alang memeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan'. Insha Allah.


Entry ini ditulis kerana saya ingin berkongsi pengalaman yang tidak seberapa ini. Kesukaran untuk mendapatkan maklumat berkaitan biasiswa komanwel di Malaysia menjadikan saya sangat teruja untuk menceritakannya disini. Diharap pengalaman ini dapat membantu insan-insan senasib yang memerlukan jawapan dalam mencari hala tuju kembara ilmu mereka. Insha Allah.

Firrbudi aka Lensahijau
11 April 2016

2 comments:

  1. Assalamu'alaikum, saya sebagai Admin ingin mohon kebenaran Tuan Firrdhaus Sahabuddin untuk repost artikel ini di laman blog www.biasiswa.info, jika tuan setuju, mohon hubungi saya di Facebook: https://www.facebook.com/messages/biasiswa.info

    ReplyDelete
  2. Hi Sir, I am interested for applying the scholarship for my PhD as well. Do you know if I need to attend any interview for the scholarship? This is because I am currently still in the UK studying my master's degree.

    ReplyDelete