DILEMA REKA BENTUK MASJID DI MALAYSIA : Hilangnya Konsep Kesederhanaan & Kelestarian

DILEMA REKA BENTUK MASJID DI MALAYSIA :
Hilangnya Konsep Kesederhanaan & Kelestarian

Oleh Mohd Firrdhaus Mohd Sahabuddin

Pengenalan

1.1  Isu Semasa

Dengan pertumbuhan pesat pembinaan masjid dan fungsinya dalam masyarakat Islam di Malaysia, keselesaan jemaah adalah menjadi satu kebimbangan utama. Keselesaan haba yang tidak sesuai dalam bangunan masjid membawa kepada persekitaran terma yang tidak selesa bagi jemaah (Hussin, Salleh, Chan, & Mat, 2014). Ia telah menjadi amalan biasa bahawa masjid-masjid di Malaysia perlu dilengkapi  dengan sistem penyaman udara untuk memberi keselesaan kepada jemaah. Walau bagaimanapun, kurangnya kajian dan maklumat mengenai tahap keselesaan ruang solat  di masjid di Malaysia menyukarkan penambahbaikan dilakukan (Hussin et al., 2014). Peningkatan penggunaan penyaman udara  di bangunan masjid di Malaysia nampaknya memberi kesan peningkatan penggunaan tenaga elektrik dalam operasi masjid setiap hari (Hussin et al., 2014).    

                     Bangunan masjid sebaiknya perlu mempunyai elemen penyatuan dengan unsur alam kerana masjid berfungsi sebagai wadah dalam bersujud/sembahyang  kepada Allah SWT yang menciptakan alam semesta ini (Imriyanti, 2013).  Di seluruh dunia, masjid adalah tempat ibadat yang sangat bersih, di mana karpet digunakan di keseluruhan ruang solat utama dari dinding ke pintu masuk. Semasa waktu-waktu tertentu seperti ketika ibadat solat jumaat dan solat sunat terawih, masjid-masjid sering dipenuhi oleh Jemaah sehingga  kepadatannya melebihi 1.5 orang bagi satu meter persegi (Ocak, Kiliçvuran, Eren, Sofuoglu, & Sofuoglu, 2012).

Semestinya pada situasi tersebut, kualiti pengudaraan akan terjejas dan pendekatan pengudaraan semulajadi mampu menyelesaikan masalah ketidakselesaan ruang dalaman, penggunaan tenaga yang tinggi bagi penyaman udara dan kualiti udara yang tidak baik (IAQ) (Fung & Lee, 2014). Penggunaan kaedah pasif seperti pengudaraan semulajadi adalah salah satu kaedah berkesan untuk penyesuaian suhu dalaman di dalam bangunan masjid di kawasan tropika seperti Malaysia (Aflaki, Mahyuddin, Al-Cheikh Mahmoud, & Baharum, 2015).

Bagi mengukuhkan isu ini, satu kajian yang telah dijalankan berjaya membuktikan bacaan CO² yang tinggi yang menggambarkan bahawa pengudaraan di dalam masjid adalah tidak mencukupi terutama ketika waktu solat jumaat (Ocak et al., 2012). Oleh itu, pengudaraan yang lebih baik adalah sangat diperlukan bagi bangunan masjid (Ocak et al., 2012). Pengudaraan semulajadi dapat memenuhi faktor kesihatan dan keselesaan terma seperti oksigen yang mencukupi, tahap CO² yang rendah, tiada asap dan gas-gas berbahaya, pencegahan bakteria dan bau (Imriyanti, 2013). Keperluan untuk keselesaan haba juga adalah termasuk pemindahan haba keluar dari ruang solat bagi membantu penyejatan peluh daripada penyejukan struktur bangunan (Imriyanti, 2013).

Diantara faktor penting yang harus diintegrasikan ke dalam rekabentuk masjid oleh Arkitek di Malaysia ialah penggunaan lohong pengudaraan (ventilation shaft), ratio bukaan pada dinding (opening-to-wall-ratio) dan orentasi bangunan (building orientation) bagi menghasilkan satu reka bentuk yang respon kepada keadaan iklim setempat (Aflaki et al., 2015).

1.2  Faktor Keselesaan Terma Dalaman & Pemakaian

Tidak dinafikan sama sekali bahawa keselesaan terma dalaman di dalam masjid memainkan peranan besar dalam membantu penghayatan ibadah yang dilakukan. Menurut kajian yang telah dijalankan keatas 396 orang jemaah di masjid-masjid berpenyaman udara, suhu operasi yang boleh diterima oleh jemaah di Malaysia ialah sekitar 26.99 ˚C sehingga 31.41 ˚C (Hussin et al., 2014). Jika dilihat nilai suhu yang disebutkan tadi, ianya tidaklah terlalu rendah yang mana boleh dicapai melalui kaedah semulajadi di Malaysia. Salah satu faktor yang membantu penyesuaian suhu dalaman dan keselesaan Jemaah adalah gaya pemakaian Jemaah itu sendiri. Rata-rata jemaah yang hadir ke masjid mengenakan pakaian ringan seperti baju melayu dan kain sarung yang diperbuat dari kain kapas iaitu sebanyak 59.1% ketika solat Subuh, 43.9% bagi waktu Maghrib dan 40.9% bagi waktu Isyak (Hussin et al., 2014). Dapat disimpulkan disini bahawa cara pemakaian tidak menjadi isu besar dalam menentukan keselesaan jemaah.

Kajian yang dilakukan oleh Husin et al. (2014) menyimpulkan bahawa tahap keselesaan di dalam masjid-masjid berpenyaman udara adalah baik iaitu melepasi tahap yang ditetapkan di dalam ASHRAE Standard-55 (2013). Hanya sebahagian kecil iaitu 9.1% sehingga 15.2% Jemaah sahaja yang merasa sedikit panas (a bit warm) ketika berada di dalam masjid-masjid yang dikaji. Nilai tersebut adalah kecil dan berkemungkinan berlaku atas faktor luaran yang lain.

1.3  Kos Penggunaan Tenaga Bagi Masjid Berpenyaman Udara

Isu sebenar yang perlu diberi perhatian berkaitan masjid di Malaysia ialah kos penggunaan tenaga yang tinggi dan tidak ekonomi. Satu kajian perbandingan yang telah dilakukan menemukan bahawa bangunan yang berpenyaman udara menggunakan 66% lebih tenaga berbanding bangunan tanpa penyaman udara (Mohd Sahabuddin & Gonzalez-Longo, 2015). Manakala kajian oleh Saidur (2009) menemukan bahawa rata-rata bangunan di Malaysia menggunakan 57% tenaga dalam operasi sistem penyaman udara iaitu lebih tinggi berbanding Indonesia (51%), Arab Saudi (50%), Sepanyol (52%) dan Amerika Syarikat (48%) (Hussin et al., 2014).

Bagi bangunan masjid, fungsi dan tempoh penggunaan adalah berbeza berbanding bangunan-bangunan lain kerana penggunaannya tertumpu semasa waktu solat dan kelas-kelas agama sahaja. Mengikut satu kajian, kos bil elektrik bagi bulan-bulan selain Ramadhan berpurata RM3,000 sebulan manakala pada bulan Ramadhan ianya meningkat hampir sekali ganda iaitu RM6,000 sebulan (Hussin et al., 2014). Secara pukal, dalam setahun sebuah masjid memerlukan bajet perbelanjaan sebanyak RM40,000 bagi menampung penggunaan elektrik untuk sistem penyaman udara. Ini tidak termasuk kos penggunaan tenaga bagi pencahayaan tiruan (artificial lighting), penyelenggaraan dan peralatan lainnya. Nilai ini juga bergantung kepada saiz sesebuah masjid dan bilangan unit penyaman udara yang dipasang. Secara logiknya, kos perbelanjaan akan meningkat seiring dengan keluasan ruang berpenyaman udara dan jumlah unit penyaman udara yang digunakan.

Kesan kos ini dialami secara langsung oleh tabung kewangan masjid namun kesan yang lebih utama yang tidak dilihat dan dirasai oleh jemaah adalah kesan kepada alam sekitar. Kepesatan pembangunan dan pertambahan populasi menjadikan pembinaan masjid tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Jika dikira faktor pembebasan CO2 bagi setiap unit penyaman udara yang digunakan, jumlah pembebasan CO2 yang bakal dijana ke ruang udara oleh semua masjid-masjid ini amat merisaukan. Seharusnya pusat ibadah ini menyumbang kepada keharmonian sejagat secara keseluruhannya bukan tertumpu kepada keselesaan jemaah sahaja.

1.4  Masjid Sebagai Simbol Kesederhanaan

Masjid sebagai pusat ibadah kepada Tuhan Yang Maha Esa dan pusat kemasyarakatan seharusnya disulami dengan elemen-elemen semulajadi  (Imriyanti, 2013). Ajaran Islam yang menganjurkan umatnya meminimumkan kemusnahan alam sekitar, mengelak pembaziran dan menjaga kesihatan perlu menjadi doktrin utama jemaah dan masyarakat sekeliling. Penghayatan ajaran Islam adalah menyeluruh bukan sahaja tertumpu kepada ibadah semata-mata malah menjaga persekitaran alam sekeliling merupakan tuntutan yang harus diberi penekanan.

Konsep masjid yang lestari bukanlah konsep yang asing di Malaysia. Rata-rata pembinaan masjid di Malaysia sejak kedatangan Islam ke Nusantara sudah bersifat lestari dan mapan. Masjid-masjid didirikan dengan menerapkan elemen ‘sains kuno’ rumah tradisional Melayu yang amat cocok dengan iklim setempat (rujuk artikel ‘Rumah Tradisional Melayu : Antara Seni, Sains & Realiti’ di Majalah Sains). Keselesaan tidak menjadi isu besar di kalangan jemaah pada waktu itu. Masjid-masjid dibina menggunakan bahan binaan ringan yang tidak menyerap haba malah reka bentuknya yang responsif kepada iklim setempat membantu menstabilkan keselesaan terma (Mohd Sahabuddin & Gonzalez-Longo, 2015). Sebagai contoh, reka bentuk masjid-masjid tertua di Malaysia iaitu Masjid Tengkera di Melaka (1728), Masjid Kampung Laut di Kelantan (1730an) dan Masjid Pengkalan Kakap di Kedah (1800an) yang mengadaptasikan elemen-elemen lestari kedalam reka bentuknya sejak dahulu lagi. Persoalannya, dimana hilangnya identiti dan sains kuno ini?


Terdapat dua aspek umum yang mempengaruhi transformasi seni bina masjid; pertama adalah keterbukaan kepada pengaruh luar dan responsif kepada faktor-faktor luaran - sama ada alam sekitar, budaya dan sejarah (Shah, Arbi, & Inangda, 2014). Jika dibandingkan dengan reka bentuk masjid-masjid bertaraf ikonik yang direka oleh Arkitek di Malaysia sejak akhir-akhir ini; ianya bukan sahaja gagal menepati konsep reka bentuk setempat malah menjauhi ajaran kesederhanaan dalam Islam yang menyumbang kepada pembaziran yang ketara terutama dalam kos operasi seharian masjid tersebut.


Masjid Quba merupakan masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah S.A.W. pada 8 Rabiul Awwal 1 Hijrah. Masjid ini didirikan tanpa menara (minaret) dan sangat sederhana pembinaannya. Ianya dibina atas dasar ketakwaan seperti Firman Allah S.W.T pada Ayat 108 Surah At-Taubah yang bermaksud:

Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.”

Jelaslah masjid sebenarnya dibina untuk manusia membersihkan diri - fizikal dan spiritual (jiwa). Kesenibinaan memainkan peranan yang penting dalam membantu manusia menikmati proses pembersihan jiwa tersebut. Persoalannya; yang mana satukah senibina masjid yang lebih memberi kesan kepada pembersihan jiwa? Diantara masjid mewah yang tersergam indah dan masjid sederhana yang penuh dengan elemen perhubungan dengan alam sekeliling? Yang mana satu melambangkan ketakwaan?

1.5  Masjid Negara Sebagai Model Masjid Lestari

Masjid Negara, Kuala Lumpur merupakan satu-satunya masjid bertaraf ikonik yang boleh dijadikan model contoh senibina masjid di rantau ini. Siap dibina pada tahun 1963, masjid ini mempunyai reka bentuk yang sederhana malah penuh dengan ciri-ciri kelestarian pasif seperti penerapan elemen pengudaraan dan pencahayaan semulajadi yang sangat baik. Masjid ini juga mempunyai ketulenan identiti yang melambangkan keberadaannya di tengah-tengah kotaraya di sebuah negara Nusantara. Mempraktikkan tiga (3) elemen alam yang asas iaitu udara, air dan cahaya menjadikan masjid ini satu binaan yang mapan dari perubahan iklim semasa dan pemanasan global (global warming). Tiga (3) elemen tersebut diintegrasikan menggunakan beberapa komponen seperti panel dinding tembus bercorak geometri yang dapat membantu membawa pengudaraan dan pencahayaan ke dalam ruang solat selain elemen air dan courtyard yang dapat menyejukkan keseluruhan ruang solat. Kemasan yang bersifat setempat seperti jubin granite juga dapat membantu menyejukkan suhu permukaan lantai.



Darisegi bentuk (form) binaan pula, masjid ini dipecahkan kepada beberapa zon yang berbentuk linear tidak seperti masjid-masjid ikonik yang lain yang dibina bulky dan padat. Konsep ini membantu meningkatkan kualiti pengudaraan dan pencahayaan yang baik. Hanya di sebahagian kecil ruang masjid iaitu dewan solat utama yang telah ditukar menjadi ruang berpenyaman udara, namun sebahagian besarnya  masih mengekalkan konsep asal. Tidak hairanlah masjid ini sering dikunjungi oleh pelancong luar dan dalam negara kerana keunikannya yang tidak dapat ditemui di tempat lain. Seharusnya masjid-masjid di Malaysia menerapkan pendekatan yang sama seperti Masjid Negara.

1.6  Kesimpulan dan Perbincangan

Menurut Shah et al. (2014), evolusi senibina masjid di Malaysia terbahagi kepada tiga (3) peringkat utama iaitu peringkat Morphology, peringkat Technology dan peringkat Design Articulation. Peringkat Morphology mencerminkan reka bentuk yang mengutamakan susunan ruang asas dan bentuk bumbung. Contoh terbaik peringkat ini ialah Masjid Tengkera, Masjid Kampung Laut dan Masjid Pengkalan Kakap yang dibina diantara tahun 1700 – 1800. Bagi peringkat 2 iaitu Technology pula contoh terbaik adalah Masjid Jamek Kuala Lumpur, Masjid Kapitan Keling, Masjid Ubudiah dan Masjid Sultan Ibrahim yang dibina sekitar 1900 – 1950. Peringkat ini masjid-masjid dibina dengan memberi penekanan kepada bahan binaan bangunan dan kaedah pembinaan. Dan akhir sekali peringkat 3, Design Articulation yang sesuai digambarkan seperti Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin yang dibina dari 1960 sehingga 2010. Peringkat ini memberi keutamaan reka bentuk yang mencerminkan bahasa perhiasan (decorative) dan impak visual.



Jadi, dimanakah evolusi ini akan berkembang? Adakah ianya akan kembali ke sebuah masjid yang mementingkan fungsi dalam pembersihan jiwa atau semakin jauh menjadi sebuah masjid yang mementingkan impak visual semata-mata? Konsep kesederhanaan dan kelestarian dapat dilihat dengan jelas pada peringkat 1, masjid dibina berlandaskan perhubungan diantara manusia dan Pencipta Alam. Namun tren semasa yang dapat dilihat, terutama kepada masjid-masjid ikonik yang dibina, konsep kesederhanaan dan kelestarian semakin pudar dan dipinggirkan. Jadi, untuk menghasilkan sebuah masjid moden yang mengekalkan elemen interaksi alam sekeliling adalah tidak mustahil. Oleh itu, bagi mengembalikan tujuan asal masjid, setiap yang terlibat dalam proses pembinaan sesebuah masjid harus memahami tujuan asal dan fungsi utama masjid itu sendiri sebagai sebuah rumah ibadat untuk membersihkan diri fizikal dan spritual. Kemewahan dan kecantikan bukanlah matlamat sebenar.

1.7  Bahan Rujukan

Aflaki, A., Mahyuddin, N., Al-Cheikh Mahmoud, Z., & Baharum, M. R. (2015). A review on natural ventilation applications through building fa??ade components and ventilation openings in tropical climates. Energy and Buildings101, 153–162. http://doi.org/10.1016/j.enbuild.2015.04.033

Fung, Y. W., & Lee, W. L. (2014). Identifying the most influential parameter affecting natural ventilation performance in high-rise high-density residential buildings. Indoor and Built Environment 24(6), 803–812. http://doi.org/10.1177/1420326X14536189

Hussin, A., Salleh, E., Chan, H. Y., & Mat, S. (2014). Thermal Comfort during daily prayer times in an Air-Conditioned Mosque in Malaysia. Proceedings of 8th Windsor Conference: Counting the Cost of Comfort in a Changing World, (April), 10–13.

Imriyanti. (2013). Mosque Architecture as a Sustainable Building in Urban ( Case Study : Al Markas Al Islamic Mosque Makassar ). Journal of Islamic Architecture2(4).

Mohd Sahabuddin, M. F., & Gonzalez-Longo, C. (2015). Traditional values and their adaptation in social housing design: Towards a new typology and establishment of “Air House” standard in Malaysia. Archnet-IJAR9(2), 31–44.

Ocak, Y., Kiliçvuran, A., Eren, A. B., Sofuoglu, A., & Sofuoglu, S. C. (2012). Exposure to particulate matter in a mosque. Atmospheric Environment56(September), 169–176. http://doi.org/10.1016/j.atmosenv.2012.04.007

Shah, M. A., Arbi, E., & Inangda, N. (2014). Transformation of Mosque Architecture in Malaysia : Proceeding of the International Conference on Arabic Studies and Islamic Civilization iCasic 20142014(March), 54–64.

Comments

Popular posts from this blog

The Establishment of 'Air House' Standard in Tropical Countries : Part 2

4 Key Factors in Designing A Building in Tropical Climate

My PhD Journey (Part 1 - Experience from the past)