Proses Pembinaan 'Mahligai Ummi' @ Sijangkang (Bahagian 1)



Inilah rumah ibu penulis yang terletak di Kg. Medan, Batu 9, Sijangkang. Rumah ini berusia hampir 20 tahun, diduduki oleh ibu penulis pada awal tahun 2000 yang lalu. Sebelum itu ianya disewakan kepada beberapa orang penyewa. Rumah ini dibina menggunakan kaedah lama iaitu separuh batu dan separuh kayu dengan bumbung asbestos berstrukturkan kayu meranti. Setelah hampir 16 tahun mendiami rumah ini, satu persatu komponen-komponen rumah ini dimakan anai-anai dan mereput. Bumbung asbestos yang mudah pecah menambah keuzuran dengan hampir di kebanyakan tempat pada siling papan lapis yang mereput akibat terkena air hujan dari kebocoran bumbung. Dinding dan tiang yang luarnya kelihatan elok mula menampakkan kerapuhan akibat dimamah anai-anai. Satu persatu dinding, tiang, siling dan bumbung jatuh rebah menyembah bumi. Hanya satu istilah yang dapat diungkapkan - rumah ini telah sangat uzur.

Setelah sekian lama penulis menerima rungutan dari ibu akan kerisauannya tentang keadaan rumah yang uzur itu. Ibu mencongak kos pembinaan pemulihan dan penulis rasakan lebih baik rumah ini dibina semula menggunakan pelan asal kerana pemulihan pun memerlukan kos yang tinggi dan belum tentu ianya pulih 100%. Penulis seakan tahu yang tahun 2016 ini mungkin penulis akan berhijrah dalam mengembara mencari ilmu sekali lagi. Dan bulan Ramadhan yang semakin hampir seharusnya niat untuk melihat sebuah rumah yang sempurna untuk ibu perlu harus dipercepatkan. Penulis berazam dalam tahun 2016 ini sebolehnya ingin membantu merealisasikan impian ibu ini.

Rumah ini dibina dengan kos sebanyak RM10,000 sahaja, dengan kos sebanyak itu semestinya banyak kekurangan yang ada. Disebalik masalah pembinaan, rumah ini juga tidak mempunyai jumlah tingkap yang mencukupi. Ianya agak gelap di waktu siang. Selain itu, rumah ini tidak mempunyai rongga pengudaraan yang akan mengakibatkan suhu didalam rumah menjadi sangat panas pada waktu puncak tengahari. Penulis sedar akan masalah ini sejak dari dulu lagi namun apakan daya penulis tidak mampu berbuat apa-apa. Setelah 16 tahun diduduki penulis meyakinkan ibu untuk merobohkan rumah ini dan membina sebuah rumah yang baru diatas tapak yang sama. Akhirnya ibu bersedia untuk proses transformasi tersebut. Maka penulis dengan kemampuan yang ada, berjanji akan membantu sepenuh hati dalam merealisasikan impian ibu tersebut. Insha Allah sebelum Ramadhan 2016, sebuah rumah baru untuk ibu bakal terbina. Amin.

Oleh Firrbudi aka Lensahijau

Comments

Popular posts from this blog

The Establishment of 'Air House' Standard in Tropical Countries : Part 2

4 Key Factors in Designing A Building in Tropical Climate

My PhD Journey (Part 1 - Experience from the past)