Projek Transformasi ‘The Naco House’ : Kronologi Pembinaan & Kajian Pencahayaan Semulajadi

Projek Transformasi ‘The Naco House’ : Kronologi Pembinaan & Kajian Pencahayaan Semulajadi

Oleh Mohd Firrdhaus Mohd Sahabuddin (Jun 2016)

Pengenalan



              Rata-rata masyarakat di Malaysia terutama di kawasan kampong dan pendalaman membina rumah mereka menggunakan ilham sendiri dengan kepakaran tempatan. Kebiasaannya rumah-rumah persendirian ini direkabentuk oleh tuan rumah sendiri atau tukang kampong atas kemahuan dan citarasa mereka berdasarkan pengamatan dan tinjauan terhadap contoh-contoh rumah persendirian di kawasan sekeliling. Dengan mengambil faktor permintaan terhadap khidmat tukang kampong yang masih tinggi, maka kajian yang telah dilakukan oleh penulis ini adalah khusus untuk masyarakat kampong agar rumah persendirian mereka lebih selesa didiami dan menjimatkan tenaga elektrik. Artikel ini tidak akan menyentuh tentang gaya senibina sesebuah rumah tersebut kerana ianya bersifat peribadi dan masing-masing mempunyai minat terhadap gaya senibina tertentu. Apa yang akan dibincangkan ialah tentang kesan sumber pencahayaan semulajadi dan pengudaraan semulajadi terhadap keselesaan sesebuah rumah tersebut.

Reka Bentuk Asal ‘The Naco House


Kajian ini memilih sebuah rumah kampong moden yang terletak di Sijangkang sebagai model kajian. Rumah ini telah dibina pada tahun 1998 dengan menggunakan kaedah lama iaitu kombinasi diantara bahan berasaskan kayu dan batu bata dimana peratusan bahan kayu adalah 70% berbanding batu bata. Atapnya pula menggunakan bahan jenis asbestos. Pelan asal rumah ini telah diilhamkan secara lisan oleh tuan rumah dan telah direalisasikan oleh tukang kampong tempatan.

Gambar 1: Rupabentuk Rumah Asal ‘The Naco House’ (1998)

              Rumah ini menggunakan tingkap jenis ‘naco’ dan tingkap berdaun di bahagian depan. Namun jumlah tingkap yang disediakan tidak mencukupi serta susunan ruang yang tidak sesuai menjadikan rumah ini kurang selesa diduduki. Setelah didiami selama 18 tahun, beberapa masalah lain telah dihadapi oleh tuan rumah seperti kebocoran bumbung, serangan anai-anai dan lantai rumah yang mula pecah. Masalah ini timbul kerana kualiti pembinaan yang  kurang baik seawal pembinaannya.

Gambar 2: Pelan Asal ‘The Naco House’ (1998)


Reka Bentuk Baru ‘The Naco House


              Penulis telah diminta oleh tuan rumah untuk membuat cadangan penambahbaikan terhadap masalah yang dihadapi. Namun beberapa kekangan perlu dipatuhi terutama berkaitan kos pembaikan yang terhad dan tiada penambahan saiz rumah boleh dibuat. Dengan kepakaran dan kreativiti yang ada penulis berjaya menghasilkan satu reka bentuk baharu rumah tersebut dengan beberapa penambahan minimum mengikut bajet yang diperuntukan. Namun yang penting adalah masalah-masalah berkaitan keselesaan dalaman dan pembinaan dapat diatasi. Diantara penambahbaikan yang dilakukan ialah penambahan jumlah tingkap pada keseluruhan perimeter rumah, pembesaran ruang dapur dan pelebaran ruang meletak kereta.

Gambar 3: Pelan Baru ‘The Naco House’ (2016)


Ecotect Analysis 2011: Perbandingan Pencahayaan Semulajadi


              Gambar 4 menunjukkan taburan pencahayaan semulajadi bagi pelan asal ‘The Naco House’. Terdapat beberapa ruang yang kurang menerima pencahayaan iaitu, ruang makan, dapur, bilik mandi dan tandas. Pencahayaan tiruan diperlukan sepenuhnya di ruang-ruang ini.



Gambar 4: Taburan Pencahayaan Semulajadi Pelan Lama

Gambar 5 menunjukkan taburan pencahayaan semulajadi pada pelan baru yang lebih seimbang dan sangat baik di keseluruhan rumah.


Gambar 5: Taburan Pencahayaan Semulajadi Pelan Baru


Kronologi Pembinaan ‘The Naco House’


Gambar 4: Sorotan peringkat pembinaan ‘The Naco House’

              Kerja-kerja pembinaan bermula pada  penghujung Januari 2016. Peringkat pertama ialah peringkat meruntuhkan struktur rumah lama yang mengambil masa selama 2 minggu (rujuk imej 2). Diikuti dengan pemasangan ‘rasuk gantung’ di atas struktur asal rumah lama. Rasuk gantung ini penting bagi menampung beban dinding dan bumbung baru kerana lantai dan dinding bata asal tidak di rekabentuk bagi menampung beban binaan bata. Bagi mengurangkan beban dinding, penggunaan bata komposit yang lebih ringan dan besar perlu dilakukan. Setelah siap kerja-kerja pemasangan dinding maka pembinaan rasuk dan tiang untuk bumbung bermula. Disusuli pula dengan menaikkan kerangka bumbung dan pemasangan bumbung itu sendiri. Peringkat seterusnya ialah kerja-kerja penyiapan iaitu lepaan plaster pada dinding luar dan dalam sebelum kerja-kerja mengecat dimulakan.

Gambar 5: Gambar akhir setelah diserah pada 17 Jun 2018

Gambar 6: Imej luar tingkap naco di sekeliling rumah

Gambar 7: Kesan pencahayaan dan pengudaraan yang sangat baik

              Kelebihan rumah ini ialah ianya menggunakan 256 kepingan kaca naco dimana nama rumah ini diilhamkan. Tingkap kaca naco yang dipasang disekeliling rumah berjaya menstabilkan suhu pada waktu puncak. Keputusan kajian simulasi yang dijalankan juga telah berjaya dibuktikan.


Kesimpulan & Saranan


              Projek transformasi ‘The Naco House’ ini menelan belanja sebanyak RM75,010.  Anggaran bagi sekaki persegi adalah RM62. Diakhir projek ini, penulis ingin menyarankan kepada bakal-bakal pemilik rumah persendirian agar tidak melupakan peranan tingkap terhadap keselesaan rumah. Perbanyakkan tingkap di sekeliling rumah bagi meningkatkan mutu pencahayaan dan pengudaraan di dalam rumah anda. Juga sediakan blok-blok pengudaraan di atas tingkap dan pintu bagi membantu pengaliran udara di waktu siang dan malam.
              Faktor seterusnya adalah tumbuh-tumbuhan di sekeliling rumah, ianya juga adalah sangat penting dalam menentukan keselesaan kerana tumbuh-tumbuhan mengeluarkan gas oksigen yang membantu menyegarkan kawasan persekitaran rumah. Rekabentuk rumah seharusnya tidak berlapis-lapis, iaitu bilik berada di tengah-tengah tanpa pengudaraan dan pencahayaan. Ini bakal membuatkan pergerakkan angin yang kurang baik dan bilik akan berbau. Dua elemen penting yang wajib diterapkan di rumah-rumah persendirian ialah pencahayaan dan pengudaraan semulajadi. Sekian.


Disediakan oleh :  Mohd Firrdhaus Mohd Sahabuddin

Comments

Popular posts from this blog

The Establishment of 'Air House' Standard in Tropical Countries : Part 2

4 Key Factors in Designing A Building in Tropical Climate

My PhD Journey (Part 1 - Experience from the past)