DILEMA REKA BENTUK MASJID DI MALAYSIA : Hilangnya Konsep Kesederhanaan & Kelestarian Oleh Mohd Firrdhaus Mohd Sahabuddin Pengenalan 1.1 Isu Semasa Dengan pertumbuhan pesat pembinaan masjid dan fungsinya dalam masyarakat Islam di Malaysia, keselesaan jemaah adalah menjadi satu kebimbangan utama. Keselesaan haba yang tidak sesuai dalam bangunan masjid membawa kepada persekitaran terma yang tidak selesa bagi jemaah (Hussin, Salleh, Chan, & Mat, 2014). Ia telah menjadi amalan biasa bahawa masjid-masjid di Malaysia perlu dilengkapi dengan sistem penyaman udara untuk memberi keselesaan kepada jemaah. Walau bagaimanapun, kurangnya kajian dan maklumat mengenai tahap keselesaan ruang solat di masjid di Malaysia menyukarkan penambahbaikan dilakukan (Hussin et al., 2014). Peningkatan penggunaan penyaman udara di bangunan masjid di Malaysia nampaknya memberi kesan peningkatan penggunaan tenaga elektrik dalam operasi masjid setiap hari (Hussin et al., 2014).